ISKANDAR PUTERI: Johor Darul Ta’zim terus mencengkam kedudukan teratas liga selepas mudah meratah Melaka FC 7-1 dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Ibrahim, di sini, sebentar tadi.
Pertembungan itu juga menyaksikan pengendali JDT, Xisco Munoz terpaksa melupakan khidmat ayam tambatannya, Arif Aiman Hanapi yang mengalami kecederaan ketika beraksi bersama Harimau Malaya menentang Nepal dalam aksi Kumpulan F kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, 18 November lalu.
Malah khidmat pemain paling bernilai (MVP) itu kemungkinan tidak dapat diturunkan apabila Harimau Selatan akan bertandang ke Stadium Rectangular Melbourne untuk berdepan Melbourne City FC pada Selasa ini dalam saingan Liga Juara-Juara Elit (ACLE) selepas perlu berehat panjang akibat kecederaan paha.
Sebaik aksi bermula, JDT jelas menguasai permainan dan memasuki minit keenam pada awalnya gol yang dijaringkan Jonathan Silva tidak disahkan selepas penjaga garisan Mohd Khairul Nizam Radzali mengangkat bendera apabila Afiq Fazail berada di kedudukan ofsaid.