FAQ

Soalan Lazim

1. Apa itu Institut Latihan Perindustrian (ILP)?

Institut Latihan Perindustrian (ILP) adalah Institut Latihan Perindustrian di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Kementerian Sumber Manusia yang menjalankan kursus-kursus kemahiran secara sepenuh masa dan separuh masa.

2. Apakah kursus-kursus yang dijalankan di ILP Pedas?

• Teknologi Pembuatan Pemesinan
• Teknologi Kimpalan
• Teknologi Fabrikasi Logam
• Teknologi CADD Mekanikal
• Teknologi Telekomunikasi
• Teknologi Mekatronik
• Teknologi CADD Senibina

3. Berapakah jangkamasa untuk mengikuti latihan tersebut?

Jangkamasa yang ditetapkan adalah antara 18 bulan hingga 24 bulan. Namun ia bergantung kepada program yang ingin diikuti samada sijil dan jenis latihan samada sepenuh masa atau separuh masa.

4. Berapakah had umur untuk mengikuti latihan di ILP Pedas?

Pada dasarnya pihak institut tidak menetapkan sebarang had umur untuk membolehkan semua masyarakat dapat mengikuti latihan di ILP Pedas, sesuai dengan slogan pembelajaran sepanjang hayat. Namun demikian oleh kerana beberapa sebab tertentu seperti pemberian pinjaman dan sebagainya maka penetapan umur perlu di tetapkan iaitu antara 17 tahun hingga 35 tahun (bergantung kepada program yang ingin diikuti). Namun demikian, mereka yang tidak layak dengan had umur berkenaan masih lagi boleh mengikuti latihan dalam beberapa program seperti kursus separuh masa/ jangka pendek yang ditawarkan.

5. Adakah lepasan ILP Pedas ini boleh melanjutkan pelajaran?

Ya, lepasan pelajar dari ILP Pedas berpeluang untuk meneruskan latihan mereka samada di Institut Latihan Kemahiran sama ada di bawah Jabatan Tenaga Manusia (JTM), Kementerian Belia dan Sukan dan MARA. Antara institut latihan di bawah JTM ialah Japan-Malaysia Technical Institute (JMTI), dan Advanced Technology Training Centre (ADTEC). Institut berkenaan menawarkan latihan hingga ke peringkat Diploma Lanjutan. Lain-lain institut ialah seperti Malaysian-France Institute (MFI), German Malaysian Institute (GMI), Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara (IKTBN) dan lain-lain institusi yang menawarkan Diploma kemahiran.

6. Adakah kursus-kursus yang dijalankan menjamin pekerjaan?

Kesemua kursus-kursus yang dijalankan adalah berdasarkan kepada standard latihan yang ditetapkan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). Kursus-kursus yang dijalankan juga sesuai untuk pekerjaan di sektor swasta (industri). Menurut statistik, 85% dari lepasan ILP Pedas berjaya mendapatkan pekerjaan selepas 6 bulan tamat latihan dalam pelbagai sektor industri.

7. Mengapa perlu jadikan ILP Pedas sebagai institusi pilihan?

Institut Latihan Perindustrian Pedas (ILPP) harus menjadi pilihan pertama anda kerana di sini program yang dijalankan adalah berdasarkan Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS). Terdapat juga program-program pelesenan profesional seperti CA2C, CA1C dan CAWIP 3.0. Ditambah dengan tenaga pengajar yang mahir serta kemudahan peralatan latihan yang canggih dan terkini selaras dengan pembangunan industri.

8. Apakah kelayakan untuk memohon mengikuti latihan di ILP Pedas?

Syarat-syarat kemasukan am bagi program sijil adalah seperti berikut :
• Warganegara Malaysia
• Berumur 17 ke atas
• Mempunyai kelulusan akademik sekurang-kurangnya lulus SPM. (Kelayakan ini adalah tertakluk kepada kursus yang dipohon).

9. Bagaimanakah caranya untuk membuat permohonan masuk ke ILP Pedas?

Pengambilan ke ILJTM dibuat dua (2) kali setahun iaitu pada bulan Januari dan bulan Julai. Permohonan adalah secara Aplikasi Atas Talian (online) di Laman Web JTM (http://www.jtm.gov.my) bagi sesi kemasukan Januari dan di Laman Web UPU, Jabatan Pengajian Tinggi (http://upu.moe.gov.my) bagi sesi kemasukan Julai.

10. Adakah sijil lulusan ILP Pedas di iktiraf oleh kerajaan Malaysia?

Sijil lulusan ILP Pedas yang dikeluarkan oleh ILJTM diiktiraf oleh Jabatan Perkhidmatan Awam melalui Sistem Pentauliahan oleh Jabatan Pembangunan Kemahiran (JPK). Para lepasan ILP Pedas akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia yang dikeluarkan oleh JPK.  Lepasan ILP Pedas tidak menghadapi masalah untuk menyambung pelajaran atau memperoleh peluang pekerjaan di pelbagai sektor.

11. Apakah sistem pembelajaran dan pentauliahan yang diamalkan di ILP Pedas?

Silibus yang digunakan adalah berdasarkan kepada NOSS atau Standard Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan oleh JPK. Proses pembelajaran adalah berdasarkan 70% kemahiran dan 30% teori. Kebanyakan pembelajaran di sini adalah secara praktikal atau hands on bagi memberi peluang dan pengalaman suasana kerja sebenar. Untuk tujuan itu, makmal dan bengkel dilengkapi dengan mesin dan peralatan yang digunakan di sektor industri. Lepasan institut ini akan dianugerahkan Sijil Kemahiran Malaysia Tahap 1, 2 dan 3 oleh JPK serta Sijil Teknologi oleh JTM.

12. Bagaimana dengan kemudahan tempat tinggal pelajar ILP Pedas?

ILP Pedas menyediakan kemudahan asrama kepada semua pelajar. Di samping itu, makan dan minum percuma serta elaun pelajar diberikan kepada pelajar setiap bulan.

13. Apakah kemudahan lain yang disediakan untuk pelajar?

Bagi kemudahan latihan, perpustakaan dan kemudahan internet di Pusat Sumber disediakan. Makmal/bengkel yang dilengkapi dengan mesin dan peralatan untuk kegunaan semasa latihan. Auditorium dan dewan serbaguna bagi kegunaan kelas atau sebarang aktiviti. Dewan makan, surau dan kemudahan padang serta gelanggang sukan untuk kegunaan pelajar.

Skip to content