Hubungi Kami | Isnin – Jumaat (8.00 pagi – 5.00 petang)
REMBAU, 31 Mac – Dalam usaha memperkasa dan memperluas hebahan mengenai Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET), Bahagian Teknologi CADD Mekanikal, Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) Jabatan Tenaga Manusia (JTM) Kampus Pedas telah mengadakan satu program jangkauan (outreach) di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Undang Rembau, hari ini.
Tujuan utama sesi pertemuan ini diadakan adalah untuk membincangkan perancangan program kolaboratif yang bakal melibatkan para pelajar sekolah berkenaan. Inisiatif proaktif ini diambil bagi memberikan pendedahan awal, di samping meningkatkan tahap pemahaman pelajar mengenai pelbagai program dan laluan kerjaya yang ditawarkan di ADTEC JTM Kampus Pedas.
Sesi perbincangan dua hala yang bermanfaat itu telah diketuai oleh Ketua Jabatan (MP) ADTEC JTM Kampus Pedas, En. Mohamad Liza Abdul Razak bersama Ketua Bahagian CADD Mekanikal, Hjh. Haisah Md Hasan. Turut hadir menjayakan perbincangan tersebut ialah dua tenaga pengajar iaitu En. Megat Yusof Megat Hussain dan En. Mohamad Izzaruddin Wahap, manakala pihak sekolah pula diwakili oleh barisan kaunselornya, Puan Azila dan Puan Farah.
Menurut jurucakap program, perbincangan tersebut telah membuahkan impak yang amat positif apabila kedua-dua belah pihak berjaya mencapai kata sepakat bagi merangka tindakan selanjutnya.
Susulan daripada persetujuan itu, sebuah program khas yang memfokuskan kepada pemerkasaan kemahiran pelajar dijadualkan bakal berlangsung pada bulan Mei hadapan bertempat di ADTEC JTM Kampus Pedas. Kerjasama ini diharap dapat membuka mata lebih ramai pelajar untuk menjadikan TVET sebagai pilihan utama dalam menyambung pengajian.
Oleh: Editor
Tarikh: 31 Mac 2026