06 – 6853564 | ilppedas@jtm.gov.my | Isnin – Jumaat (8.00 pagi – 5.00 petang)

Perutusan Pengarah

Assalammualaikum dan Salam Kemahiran.

Memperkasa Modal Insan TVET Menjelang Era Industri 5.0

Dalam menelusuri era peralihan daripada Revolusi Industri 4.0 ke Revolusi Industri 5.0, landskap pekerjaan dan kemahiran teknikal kini sedang mengalami transformasi yang pesat.

Dunia industri moden menuntut tenaga kerja yang bukan sahaja mahir dalam bidang teknikal, malah cekap mengadaptasi teknologi terkini seperti Kepintaran Buatan (AI), Internet Pelbagai Benda (IoT), Analitik Data, Teknologi Rantaian Blok (blockchain), Automasi Pintar, serta Tenaga Hijau yang mampan.

Menyedari cabaran landskap pekerjaan yang semakin kompleks ini, ADTEC JTM Kampus Pedas memikul tanggungjawab kritikal dalam memperkasa Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) bagi melahirkan modal insan yang kompetitif, inovatif, dan bersedia di peringkat global.

Sebagai satu-satunya Institut Latihan Jabatan Tenaga Manusia (ILJTM) di Negeri Sembilan, ADTEC Pedas menawarkan tujuh (7) program latihan kemahiran yang merangkumi sektor pembinaan, elektrikal dan elektronik, serta mekanikal dan pengeluaran. Kami komited terhadap kecemerlangan melalui pendekatan pembelajaran berasaskan industri, latihan hands-on, kolaborasi strategik, serta kurikulum yang sentiasa relevan dengan keperluan semasa.

Lebih membanggakan, ADTEC Pedas telah mengukuhkan kedudukannya sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang kimpalan melalui penubuhan Miller Welding Academy. Selain itu, integrasi teknologi Robotik, IoT, dan elemen Industri 4.0 diterapkan secara menyeluruh dalam latihan kami. Ini bagi memastikan setiap pelajar bukan sahaja memiliki kemahiran teknikal yang tinggi, tetapi juga daya kreativiti, kemampuan menyelesaikan masalah, dan pemikiran keusahawanan untuk bersaing dalam dunia kerjaya moden.