Hubungi Kami | Isnin – Jumaat (8.00 pagi – 5.00 petang)
PEDAS – Usaha memperkasa dan menarik minat generasi muda terhadap bidang Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) terus dipergiat apabila Pusat Latihan Teknologi Tinggi (ADTEC) JTM Kampus Pedas menerima kunjungan delegasi pelajar dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Undang Rembau, baru-baru ini.
Kunjungan kumpulan pelajar Tingkatan 5 itu adalah bagi menjayakan ‘Program Sepagi bersama Teknologi CADD Mekanikal’ anjuran Bahagian Teknologi CADD Mekanikal yang berlangsung pada 5 Mei lalu, seawal jam 8.00 pagi hingga 1.00 petang.
Sepanjang program setengah hari tersebut, para pelajar telah disajikan dengan pelbagai aktiviti interaktif dan berimpak tinggi yang mendedahkan mereka kepada dunia kejuruteraan moden secara realistik.
Antara pengisian utama program termasuklah latihan amali (hands-on) Pemodelan 3D menggunakan perisian industri Autodesk Inventor, Pengaturcaraan dan Simulasi Asas CNC, serta pendedahan kepada teknologi Percetakan 3D (3D Printing).
Di samping pendedahan teknologi perisian, pelajar turut dibawa melihat secara dekat dan mempelajari operasi asas pemesinan konvensional seperti operasi Mesin Kisar (Basic Milling) dan Mesin Larik (Turning Operation).
Menurut jurucakap program, inisiatif tersebut bukan sekadar medium pemindahan dan perkongsian ilmu semata-mata, malah ia dirangka khusus untuk membuka minda pelajar sekolah menengah terhadap prospek kerjaya teknikal.
“Ia berperanan sebagai platform strategik dalam mencetus minat serta membina kemahiran asas pelajar. Kita mahu memperkasa generasi muda ini ke arah bidang teknologi kejuruteraan yang lebih dinamik dan berdaya saing sebelum mereka melangkah ke alam pengajian tinggi atau alam pekerjaan,” jelasnya.
Oleh: Editor
Tarikh: 06 Mei 2026