Hubungi Kami | Isnin – Jumaat (8.00 pagi – 5.00 petang)

DOBOT-Robot Kolaboratif :
Kinematik & Aplikasi

PROGRAM INTRODUCTION TO DOBOT – ROBOT KOLABORATIF: KINEMATIK DAN APLIKASI

PEDAS – Sejajar dengan hasrat untuk melahirkan graduan TVET yang berdaya saing, ADTEC JTM Kampus Pedas telah berjaya menganjurkan program perkongsian ilmu bertajuk ‘Introduction to DOBOT – Robot Kolaboratif: Kinematik dan Aplikasi’, baru-baru ini.

Program pendedahan teknologi robotik yang berlangsung di Auditorium ADTEC JTM Kampus Pedas pada 9 September lalu itu mendapat sambutan yang amat menggalakkan apabila berjaya menarik penyertaan seramai 107 orang.

Peserta program terdiri daripada para pelajar dan pensyarah jurusan Teknologi Mekatronik dari ADTEC JTM Kampus Pedas, serta turut dimeriahkan dengan penyertaan delegasi dari ADTEC JTM Kampus Bukit Katil.

Menerusi program padat selama dua jam itu, para peserta telah diberikan pendedahan secara langsung dan komprehensif mengenai teknologi Robot Kolaboratif atau ‘Cobot’ jenama DOBOT. Antara pengisian utama termasuklah pengenalan asas kepada robot bersistem 6-paksi (6-axis), perbandingan fungsi antara cobot dengan robot industri tradisional, serta pelbagai variasi aplikasi robotik dalam landskap industri sebenar.

Lebih menarik, para peserta tidak hanya disajikan dengan teori, malah turut berpeluang menyaksikan demonstrasi interaktif. Antara yang dipamerkan ialah robot arm showcase, kaedah pergerakan dan recording & playback, serta pengenalan kepada perisian DobotStudioPro.

Turut diketengahkan adalah kaedah pengaturcaraan GUI dan skrip, kawalan I/O, integrasi PLC dan HMI, sistem pick and place, serta kehebatan teknologi Dobot Vision yang menggunakan integrasi kamera bagi mengasingkan objek berdasarkan bentuk dan warna.

Penganjuran program ini disifatkan sebagai satu platform yang amat bermakna dan tepat pada masanya dalam usaha memperkukuh pengetahuan serta kemahiran teknikal peserta, selari dengan tuntutan Revolusi Industri 4.0 (IR4.0) dan kepesatan era automasi. Ia sekali gus membuka ruang pendedahan eksklusif kepada para pelajar untuk menyelami dan memahami evolusi pesat teknologi robotik yang sedang mendominasi sektor pembuatan masa kini.

Pihak pengurusan ADTEC JTM Kampus Pedas turut menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih kepada Festech Sdn. Bhd. atas perkongsian ilmu kepakaran, demonstrasi teknologi yang memukau, serta jalinan kerjasama padu yang diberikan dalam menjayakan program tersebut.

Oleh: Editor

Tarikh: 9 September 2026