Hubungi Kami | Isnin – Jumaat (8.00 pagi – 5.00 petang)

PERHIMPUNAN PELAJAR BERSAMA PENGARAH ADTEC JTM KAMPUS PEDAS

PEDAS, 6 April – Usaha melahirkan graduan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang berkualiti terus diperkasa menerusi penganjuran Perhimpunan Pelajar Bersama Pengarah, ADTEC JTM Kampus Pedas Bil 2/2026 yang berlangsung dengan jayanya, baru-baru ini.

Majlis yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampus berkenaan pada 6 April lalu.

Dalam amanat utamanya, Pengarah ADTEC JTM Kampus Pedas, Ts. Roslin bt. Mohd Basri menekankan betapa pentingnya para pelajar mengekal dan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan seharian, terutamanya hasil didikan rohani yang telah diasah sepanjang bulan Ramadhan lalu.

Beliau turut mengingatkan para pelajar agar memberikan tumpuan sepenuhnya kepada latihan kemahiran yang diikuti, di samping mengamalkan komunikasi dua hala yang berkesan bersama barisan tenaga pengajar.

“Pelajar perlu bijak membuat pertimbangan dan pilihan yang tepat bagi memastikan mereka sentiasa kekal fokus dan komited untuk menamatkan pengajian dengan cemerlang,” kata beliau.

Menyentuh mengenai arus perkembangan teknologi moden, Pengarah juga menggesa warga kampus agar menggunakan kemudahan media sosial secara berhemah. Beliau menyarankan agar medium tersebut dimanfaatkan sepenuhnya untuk berkongsi peluang serta kebaikan program TVET kepada generasi muda di luar sana.

Tambahnya lagi, para pelajar juga perlu mempunyai pemahaman yang jelas mengenai laluan kerjaya graduan TVET yang kini mampu melangkah jauh sehingga ke tahap kemahiran tinggi dan berstatus profesional.

Dalam perkembangan lain, beliau turut mengambil peluang menyentuh secara ringkas mengenai krisis pergolakan yang sedang melanda rantau Asia Barat ketika ini serta impaknya kepada dunia global. Pesanan itu disampaikan sebagai peringatan agar mahasiswa TVET sentiasa peka dan cakna terhadap perkembangan isu semasa luar negara.

Terdahulu, pihak pengurusan merakamkan ucapan syabas dan penghargaan kepada seluruh barisan pelajar atas kehadiran yang amat memberangsangkan, di samping memuji tahap disiplin yang tinggi menerusi pematuhan etika berpakaian serta peraturan kampus.

Program yang ringkas namun padat dengan pengisian bermakna ini diharap dapat terus menyelaraskan para pelajar dengan hala tuju kampus, seterusnya menjadi pembakar semangat untuk terus melakar kecemerlangan demi agama, bangsa, dan negara.

Oleh: Editor

Tarikh: 06 April 2026