Hubungi Kami | Isnin – Jumaat (8.00 pagi – 5.00 petang)

Memperkukuh Sinergi TVET-Industri JTM-Miller Welding Academy

PEDAS, 22 September – Kesinambungan kerjasama strategik antara Jabatan Tenaga Manusia (JTM) dan Kumpulan Logamweld yang dimeterai sejak Mei 2025 terus diperkukuh menerusi Sesi Libat Urus JTM–Miller Welding Academy yang berlangsung di ADTEC JTM Kampus Pedas, hari ini.

Pertemuan strategik tersebut memberi tumpuan khusus kepada gerak kerja pelaksanaan acara berskala besar, International Seminar on AR/VR Technologies for Advanced Welding & Industrial Skills Training: From Virtual Experience to Real-World Competency.

Seminar bertaraf antarabangsa yang bakal mendedahkan teknologi realiti gabungan (AR/VR) dalam latihan kemahiran itu dijadualkan berlangsung pada 14 Oktober 2026 di ADTEC JTM Kampus Pedas.

Di samping itu, sesi libat urus tersebut turut memfokuskan kepada perbincangan bagi memperhalusi pelan hala tuju JTM–Miller Welding Academy. Usaha ini bertujuan memacu akademi berkenaan sebagai platform kecemerlangan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) yang lebih dinamik, responsif, dan berteraskan keperluan sebenar industri.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan bersempena pertemuan tersebut, sinergi yang terjalin ini membawa makna yang lebih besar daripada sekadar pemindahan teknologi semata-mata.

“Ia mencerminkan komitmen bersama dalam membina ekosistem TVET dan industri yang berimpak tinggi. Melalui perkongsian kepakaran, teknologi, dan pengalaman industri, kita berhasrat untuk memastikan para pelajar serta tenaga pengajar sentiasa terdedah kepada perkembangan teknologi terkini.

“Ini bagi memastikan mereka dibekalkan dengan kompetensi yang relevan dan selari dengan landskap pekerjaan masa hadapan,” jelas kenyataan tersebut.

Inisiatif ini selaras dengan aspirasi penubuhan JTM–Miller Welding Academy, iaitu untuk membangunkan bakat berkemahiran tinggi, memperkukuh keupayaan para pengajar, dan secara langsung merapatkan jurang antara institusi TVET negara dengan kehendak industri.

Dalam pada itu, pihak JTM turut mengambil kesempatan menzahirkan setinggi-tinggi penghargaan kepada rakan strategiknya, Kumpulan Logamweld, atas komitmen, tahap kepercayaan yang tinggi, dan kesediaan untuk terus berganding bahu dalam usaha memperkukuh ekosistem pembangunan bakat dalam bidang kimpalan

“Memperkasa Kemahiran, Menyemarak Masa Hadapan”

“Empowering Skills, Igniting Futures”

#SSM
#JTM
#ILJTM
#ADTECJTMKampusPedas
#JTMMekarDihatiku
#TVETMalaysia
#EmpoweringPeople
#AdvancingNation
#JTMMillerWeldingAcademy
#SkillsMalaysia
#JomMasukADTECJTMKampusPedas

LUMiller LUMiller5 LUMiller4 LUMiller3 LUMiller2 LUMiller1