Hubungi Kami | Isnin – Jumaat (8.00 pagi – 5.00 petang)
MAULIDUR RASUL 1448H/2026
Menyemarakkan Cinta Rasul, Memperkasa Akhlak Warga ADTEC JTM
ADTEC JTM Kampus Pedas telah menganjurkan Program Minggu Maulidur Rasul 1448H/2026 pada 6 – 11 September 2026
Majlis Penutup program ini telah dirasmikan oleh Pengarah ADTEC JTM Kampus Pedas, Ts. Roslin binti Mohd Basri.
Program dimulakan dengan perarakan masuk warga pelajar dan pengajar ke Dewan Serbaguna, yang berlangsung penuh semangat dan meriah. Antara pengisian yang mencuri perhatian ialah perarakan sepanduk bertemakan Maulidur Rasul yang disertai oleh setiap bengkel di ADTEC JTM Kampus Pedas.
Setiap bengkel tampil dengan kreativiti tersendiri melalui penghasilan sepanduk yang sarat dengan mesej kecintaan kepada Rasulullah SAW. Perarakan ini bukan sekadar aktiviti simbolik, malah menjadi medium untuk memupuk semangat kekitaan, kreativiti, kerjasama berpasukan serta penghayatan terhadap nilai-nilai murni yang dibawa oleh Rasulullah SAW.
Acara kemudiannya diteruskan dengan Ceramah Maulidur Rasul yang menampilkan Ustaz Muhammad Ihsan bin Pajarrudin dengan tajuk “Seindah Akhlak Rasullullah S.A.W”. Perkongsian yang disampaikan memberikan penghayatan bermakna berkaitan keperibadian Rasulullah SAW serta kepentingan menjadikan Baginda sebagai contoh teladan dalam kehidupan. Nilai amanah, disiplin, kepimpinan, kasih sayang, integriti dan kecemerlangan turut diketengahkan sebagai elemen penting dalam pembentukan insan yang berkualiti.
Turut berlangsung ialah penyampaian cenderamata dan hadiah, diikuti Selawat nabi, yang menambahkan lagi suasana penuh kesyahduan dan penghayatan sepanjang program.
Penganjuran program ini jelas memperlihatkan pendekatan ADTEC JTM Kampus Pedas dalam membentuk modal insan TVET yang seimbang, iaitu cemerlang dari aspek kemahiran dan kompetensi, serta kukuh dari sudut akhlak, sahsiah dan nilai kemanusiaan.
Semoga sambutan Maulidur Rasul pada tahun ini terus menjadi platform untuk menyemarakkan kecintaan kepada Rasulullah SAW dan diterjemahkan melalui amalan, budaya kerja serta kehidupan seharian seluruh warga ADTEC JTM Kampus Pedas.
“Sesungguhnya, telah ada pada (diri) Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu.”
— Surah Al-Ahzab: 21
Oleh: Editor
Tarikh: 11 September 2026