Hubungi Kami | Isnin – Jumaat (8.00 pagi – 5.00 petang)

Perhimpunan Bulanan Pengarah Rai Kecemerlangan Kakitangan

PEDAS, 25 September – Majlis Perhimpunan Bulanan Pengarah Bersama Kakitangan Bilangan 5/2026 bagi tempoh Julai hingga September telah berlangsung dengan jayanya, menghimpunkan seluruh warga kampus dalam sebuah majlis penganugerahan dan perkongsian ilmu.

Majlis yang dikelolakan secara bersama oleh Bahagian Kawalan Kualiti Latihan (BKKL) dan Bahagian Fabrikasi Struktur Logam itu padat dengan pelbagai pengisian, bermula dengan dua sesi perkongsian ilmu yang relevan dengan keperluan warga kerja.

Sesi pertama memfokuskan kepada topik ‘Ergonomik di Tempat Kerja’ yang disampaikan oleh YM Tengku Anuar bin Engku Ahmad, bertujuan memupuk kesedaran mengenai amalan pembentukan persekitaran kerja yang lebih selamat dan selesa. Sesi tersebut disusuli dengan taklimat ‘Tatacara Pembelian Terus Menggunakan Sistem ePerolehan’ oleh Pn. Norazlin binti Mahadzir.

Dalam majlis yang sama, warga kampus turut diperkenalkan dengan dua kakitangan baharu, iaitu Puan Siti Fadillah binti Mohamad dan Pn. Norazlina binti Md Jelas yang kini rasmi menyertai keluarga institusi berkenaan.

Kemuncak perhimpunan adalah sesi amanat daripada Pengarah yang menitipkan pesanan berunsur motivasi bagi menyuntik semangat seluruh warga kampus agar terus komited memacu prestasi dan kelangsungan kecemerlangan organisasi.

Bagi menghargai dedikasi dan sumbangan warga kerja, majlis turut diserikan dengan penyampaian sijil dan anugerah. Seramai lapan orang kakitangan telah diraikan sebagai penerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2025. Turut menerima pengiktirafan ialah para penerima Sijil Jawatankuasa Minggu Suai Kenal (MSK) Sesi 2/2026 serta Sijil Penghargaan Anugerah Inovasi Peringkat Jabatan Kesihatan Negeri Sembilan.

Lebih bermakna, pihak pengurusan turut mengumumkan pemenang Anugerah Pekerja Terbaik Bulanan bagi suku ketiga tahun ini. Pengiktirafan tersebut disandang oleh Pn. Maizatul Akmar binti Mokhtar dari Bahagian Teknologi Mekatronik (Julai); En. Mohd Shahran bin Abdul Aziz dari BKP (Ogos); dan Pn. Rokayah binti Yahya yang juga dari Bahagian Teknologi Mekatronik (September).

“Syabas dan tahniah diucapkan kepada semua penerima. Semoga pengiktirafan ini menjadi pemangkin untuk terus memberikan perkhidmatan terbaik serta menjadi inspirasi kepada rakan sekerja yang lain,” menurut kenyataan penganjur.

Majlis perhimpunan tersebut diakhiri dengan penghayatan nilai dan slogan institusi, “Pekerja MADANI, Kesuma Bangsa” dan “Memperkasakan Kemahiran, Menyemarakkan Masa Depan” (Empowering Skills, Igniting Futures), melambangkan keazaman jitu warga kampus dalam memperkasa bidang latihan kemahiran negara.

“Memperkasa Kemahiran, Menyemarak Masa Hadapan”

“Empowering Skills, Igniting Futures”

#SSM
#JTM
#ILJTM
#ADTECJTMKampusPedas
#JTMMekarDihatiku
#TVETMalaysia
#EmpoweringPeople
#AdvancingNation
#JTM-MillerWeldingAcademy
#SkillsMalaysia
#JomMasukADTECJTMKampusPedas

PBulanan5 PBulanan1 PBulanan4 PBulanan3 PBulanan2 PBulanan7